MINGGU PEPERIKSAAN PENGGAL 1/ 2012
21 HINGGA 24 MEI 2012
HARAP SEMUA MURID MENGULANGKAJI
PELAJARAN ANDA
PELAJARAN ANDA
Di sini cikgu ingin
berkongsi dengan pelajar-pelajar sekalian terdapat beberapa tip sebagai
persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti. Tip ini di
ambil dari akbar berita harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya ialah :
1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi
menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini.
Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir
diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon
akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda
telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal
atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan?
Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi
mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta
ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus
membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun
terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan
soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan
berpanjangan
.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu
mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang
dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda
sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting
yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara
boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali
mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya
dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta
semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda
seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di
mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum
ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan
diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah
keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh
menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda
sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada
ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan
tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki
peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu
perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada
dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh
dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur
hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan,
seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda
seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan
mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah
dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak
dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan
penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan
peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari
peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam
hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat
menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun
dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun
pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan
saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan
pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat
menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan,
anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu
sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda
tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda
mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa
gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda
perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan,
jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu
banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan
soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan
diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian
amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting.
Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf
pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul
sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi,
baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas
jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam
memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan
sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu
ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan.
Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu
akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah
menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang
dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan
perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang
semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan
berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan
berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan
mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi
apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan
solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan
dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak
yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak
seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat
persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal
kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja
untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh
digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi
peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas,
pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk
menghadapi ujian itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan